IMAM MALIK BIN ANAS(93-179 H).PENGASAS MAZHAB MALIKI.
Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 63H/711M. Beliau dilahirkan dalam sebuah kota yang ketika itu terkenal sebagai pusat ilmu–ilmu Islam. Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam, dengan datuknya sendiri sebagai perawi dan penghafal hadith yang terkemuka. Pakciknya juga Abu Suhail Nafi adalah seorang tokoh hadith Madinah ketika itu, dan dengan pakciknyalah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi adalah seorang tabien yang sempat menghafal hadith dari Abdullah ibnu Umar, A’isyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri.
Selain Nafi, Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Imam Ja’afar as Sadiq, cucu kepada al-Hasan, cucu kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi, berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salamah ad-Dinar, Yahya bin Saad dan Hisham bin Urwah. Mereka ini semua adalah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah saw. Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dangan para tabien amatlah menguntungkannya. Para tabien ini ialah mereka yang sempat bersama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka sempat belajar, mendengar hadith dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan kota Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya.
Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai dari serta daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah di ketika itu. Imam Malik juga adalah yang pertama dalam mengumpulkan dan membukukan hadith-hadith Rasulullah saw dalam kitabnya Al Muwattha’. Kitabnya itu menjadi hafalan dan rjukan ramai sehinggakan pernah dikatakan oleh Imam Syafie: tiada pernah wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.
Antara tokoh besar yang belajar bersama Imam Malik ialah Imam Abu Hanifah dari Kufah. Selain itu diriwayatkan sebanyak 1300 tokoh-tokoh lain yang duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik di Masjid Nabawi. Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal sebagai nama Imam Syafie. Ketinggian ilmu Imam Malik juga diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hambal: Malik adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam bidang hadith dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat merupai Malik?
Imam Malik kemudiannya di bebaskan dan beliau kembali mengajar di Madinah. Di ketika itu juga beliau menghabiskan saat-saat kehidupannya dengan mengumpulkan dan menulis hadith-hadith Rasulullah sallallhu-alaihi-wasallam dan athar-athar (sebutan-pendapat) para sahabat radiallhu-anhum. Pada usia 86 tahun, Imam Malik meninggal di kota kelahirannya Madinah, pada 11 Rabiul-Awal tahun 179H/796M. Di antara anak-anak murid beliau yang ditinggalkan ialah Abdul Rahman al-Qasim at-Tashri (191H/807M), Imam Ibnu WahabAbu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Imam Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).
IMAM HANAFI
Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu’man bin Thabit bin Zhuthi’ lahir pada tahun 80H/699M di Kufah, Iraq iaitu sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal sebagai pusat ilmu di ketika itu. Ianya diasakan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud radiallahu –anhu (32H/65M), seoarang sahabat zaman Rasulullah saw. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama Ali bin Abi Talib ra. Abu Hanifah sekali-sekala ikut turut serta dalam urus-niaga ayahnya, akan tetapi minatnya lebih mendalam ke arah membaca dan menghafal Qur’an. Abu Hanifah di satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agama besar di ketika itu, iaitu Imam Ash Sya’bi dan melihatkan kepintaran dan kecerdasan yang terpendam dalam fikiran muda Abu Hanifah, Imam AsySya’bi menasihatkan beliau agar lebih banyak mencurahkan usaha kedalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan dorongan Asy Sya’bi-lah Abu Hanifah mula menceburkan dirinya secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam.
Abu Hanifah mula belajar dengan mendalam ilmu-ilmu qiraat, ilmu arab, ilmu kalam dan lain-lain. Tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah bidang ilmu fiqh dan hadith; dan beliau banyak meluahkan tenaga mendalaminya. Abu Hanifah meneruskan pelajarannya dalam bidang fiqh dan hadith dengan bergurukan kepada Asy Sya’bi dan beberapa tokoh-tokoh ilmuan di Kufah. Menurut riwayat jumlah gurunya di Kufah sahaja berjumlah 93 orang.
Beliau kemudainnya berhijrah ke Basrah untuk berguru pula dengan Imam Hammad bin Abi Sulaiman, Imam Qatadah dan Imam Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan as-Shu’bah yang ketika itu dikenal sebagai Amir al-Mukminin fii Hadith (Pemimpin ummat bidang hadith), beliau diizinkan gurunya untuk mengajar hadith kepada orang ramai. Berkata as-Shu’bah: Sebagaimana aku mengetahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasang bersama.
Abu Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah. Beliau kemudiannya turun ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Disana beliau duduk berguru dengan Imam Atha bin Abi Rabah. Kemudiannya Abu Hanifah duduk pula bersama Imam Ikramah, seorang tokoh besar di Mekah, yang juga merupakan anak murid kepada Abdullah ibnu Abbas, Ali bin Abi Talib, Abu Hurairah dan Abdullah ibnu Umar ra-anhum. Kehandalan Abu Hanifah dalan ilmu-ilmu fiqh dan hadith diiktiraf oleh Imam Ikramah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk-penduduk Mekah.
Abu Hanifah kemudian meneruskan pengajinnya ke Madinah bersama Imam Baqir dan Imam Ja’afar as-Sadiq. Kemudian beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Abu Hanifah 13 tahun lebih dewasa dari Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar. Apabila guru kesayangannya Imam Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan meneruskan perjuangan ilmu Imam Hammad, Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan tersebut.
Mulai disinilah Abu Hanifah mula mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Pengaruhnya juga mula tersebar luas sebagai Imam Mujtahid yang besar. Disamping mengajar, Imam Abu Hanifah adalah seorang pedagang dan beliau sangat bijak dalam mengadili antara dua tnggung-jawabnya ini, sebagaimana keterangan anak muridnya al- Fudail ibnu Iyab:
Adalah Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk siapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali datang kepadanya sesuatu masaalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.
Dimasa pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau menjawat sebagai qadi kerajaan. Beliau tetap berkeras menolak jawatan itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan Mansur marah, lalu dia menghantar Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan dari orang ramai menyebabkan Mansur terpaksa membenarkan Abu Hanifah meneruskan pengajarannya walaupun dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara untuk belajar dengan Abu Hanifah, Mansur merasakan kedudukannya mula tercabar dan tergugat. Mansur merasakan Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya sebelum terlambat.
Pada usia 70 tahun, akhirnya Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rjab 150H/767M ketika dalam penjara, disebabkan termakan makanan yang diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini dirasai olah dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah. Imam Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak murid Imam Abu Hanifah yang ulung ialah Imam Zufar (158H/775M), Imam Abu Yusuf (182H/798M) dan Imam Muhammad Hasan as-Shaibani (189H,805805M).
No comments:
Post a Comment